Thursday 29 November 2012

PEMBENTUKAN KATA DALAM BAHASA MELAYU

3.0  PEMBENTUKAN KATA

            Bidang pembentukan kata (morfologi) merupakan subsistem dalam sistem bahasa. Dalam konteks Bahasa Melayu, pembentukan kata adalah proses mengolah unsur-unsur bahasa  sehingga menjadi pekataan yang boleh diujarkan dan difahami oleh penuturnya. Menurut Tatabahasa Dewan (1995), terdapat empat bentuk kata asas dalam bahasa Melayu iaitu,  bentuk kata tunggal,  kata terbitan,  kata majmuk, dan  kata ganda. Pembentukan kata lazimnya dihuraikan daripada sudut prosesnya. Selalunya, pembentukan satu-satu perkataan itu adalah melalui proses-proses pengimbuhan, penggandaan, atau pemajmukan.

            Kata tunggal ialah perkataan yang paling dasar, yang tidak mengalami sebarang proses pembentukan. Contoh kata tunggal: cuaca, gred, seluar, teks, masyarakat dan yu.Daripada segi persukuan kata, kata-kata tersebut terdiri daripada pelbagai bentuk.Perkataan-perkataan dalam bahasa Melayu boleh mengandungi satu suku kata atau beberapa suku kata.

            Kata akronim juga tergolong ke dalam jenis kata tunggal. Akronim ialah kata singkatan yang terbentuk dengan menggabungkan huruf awal, suku kata, dan gabungan awal huruf dan suku kata perkataan atau rangkai kata yang ditulis dan dilafazkan sebagai perkataan tersendiri. Contohnya: cerpen (daripada cerita pendek), Gapena (daripada Gabungan Penulis Nasional), dan kugiran (kumpulan gitar rancak).

            Kata terbitan ialah perkataan yang terbentuk melalui proses pengimbuhan, iaitu dengan menggandingkan imbuhan pada kata dasar. Merujuk kepada kedudukannya dengan kata dasar, imbuhan terbahagi kepada empat jenis iaitu imbuhan awalan, yang hadir sebelum kata dasar, imbuhan akhiran, yang hadir sesudah kata dasar, imbuhan apitan yang hadir secara mengapit kata dasar, iaitu di awal dan akhir kata dasar, dan imbuhan sisipan, yang hadir di celahan kata dasar.

            Imbuhan-imbuhan tersebut membentuk pelbagai jenis kata terbitan, iaitu kata nama terbitan dan kata adjektif terbitan. Setiap jenis kata terbitan ini dibentuk oleh imbuhan-imbuhan tertentu. Awalan-awalan peN-, peR-, pe-, ke-, juru-, maha-, dan tata- contohnya, membentuk kata nama terbitan. Akhiran imbuhan yang membentuk kata nama, iaitu -an, -wan, -wati, dan sebagainya. Antara imbuhan yang membentuk kata kerja pula ialah awalan-awalan meN-, beR-, ter- dan di- serta akhiran -kan dan -i. Jumlah apitan juga banyak dalam bahasa Melayu, misalnya peN-…-an, ke-…-an, pe-…an, dan peR-…-an yang membentuk kata nama, dan meN-…-kan, beR-...-kan, meN-…-kan, meN-…-i, dan mempeR-…-kan yang membentuk kata kerja.
            Kata majmuk ialah perkataan yang dibentuk dengan merangkaikan beberapa kata dasar, dan bentuk yang terhasil membawa makna tertentu, dieja terpisah dan bertindak sebagai satu unit.Contohnya kapal terbang, gambar rajah dan terima kasih.

            Bentuk kata yang terakhir ialah kata ganda. Kata ganda ialah perkataan yang mengalami pengulangan pada kata dasarnya, sama ada secara sepenuh, separa atau berentak. Penggandaan penuh bermaksud pengulangan sepenuh sesuatu kata dasar,contohnya cantik-cantik dan mata-mata. Penggandaan separa bermakna pengulangan sebahagian daripada kata dasar sahaja, yang boleh terdiri daripada kata tunggal atau kata terbitan. Penggandaan separa yang berlaku pada kata dasar tunggal biasanya melibatkan pengulangan suku kata pertamanya, dan kata gandanya terletak  pada bahagian hadapan kata dasar. Vokal dalam bentuk gandaan itu juga mengalami proses pelemahan, menjadikannya vokal (e) pepet. Misalnya, laki kepada laki – laki dan kemudian kepada lelaki.

            Penggandaan separa yang berlaku pada kata dasar yang berimbuhan pula hanya menggandakan kata dasar dan tidak melibatkan imbuhan, serta berlaku hanya pada kata kerja dan kata adjektif tertentu. Bentuk gandaan separa boleh terletak di bahagian belakang kata dasar, misalnya berturut-turut dan mencari-cari atau bahagian kata dasar,contohnya bantu-membantu dan cinta-mencintai.

            Penggadaan berentak pula ialah proses yang menggandakan kata dasar mengikut rentak bunyi yang tertentu dalam kata dasar. Dalam penggandaan berentak, seluruh kata dasar digandakan dan bunyi-bunyi tertentu diulang atau diubah. Penggandaan ini berlaku sama ada melalui pengulangan vokal, contohnya kuih-muih, tungkus-lumus. Melalui pengulangan konsonan  pula misalnya simpang-siur dan mandi-manda. 


3 .1  PROSES  PEMBENTUKAN  KATA

            Pada umumnya, proses pembentukan kata dalam bahasa Melayu melibatkan bentuk- bentuk kata tunggal, terbitan, majmuk dan ganda.

       BENTUK KATA TUNGGAL

Kata tunggal ialah perkataan yang tidak mengalami sebarang proses penggandaan dan perangkaian kata. Selain itu, kata tunggal juga tidak menerima sebarang penambahan imbuhan pada katanya sama ada imbuhan awalan, imbuhan akhiran, imbuhan apitan dan imbuhan sisipan.

Tambahan lagi, kata tunggal juga terbahagi kepada beberapa jenis kata tunggal seperti kata tunggal satu suku kata, kata tunggal dua suku kata, kata tunggal tiga suku kata serta kata tunggal empat suku kata dan lebih.

Dalam masa yang sama, kata tunggal juga boleh diperluaskan atau dikembangkan membentuk kata terbitan setelah kata tunggal menerima  proses pengimbuhan, proses penggandaan dan proses pemajmukan.

Dalam pembentukan kata tunggal, sesuatu suku kata boleh terdiri daripada satu vokal (V) disertai satu konsonan (K), satu vokal (V) sahaja atau satu vokal (V) dengan beberapa konsonan (K).

  Konsonan-konsonan itu hadir dengan beberapa konsonan sama ada hadir di hadapan dan di belakang vokal atau secara serentak di hadapan dan belakang serta ada juga konsonan yang boleh hadir secara bergugus (KK).

BENTUK KATA MAJMUK

       Proses pemajmukan ialah proses yang merangkaikan dua kata dasar atau lebih dan bentuk yang terhasil membawa makna tertentu. Kata majmuk dieja terpisah dan bertindak sebagai satu unit, iaitu bentuknya tidak boleh menerima sebarang penyisipan unsur lain.

       Dalam bahasa Melayu bentuk kata majmuk seperti ini jumlahnya adalah besar. Berdasarkan jenisnya, kata majmuk dapat pecahkan  kepada tiga kelompok, iaitu seperti yang berikut:


a) kata majmuk yang terdiri daripada rangkaian kata bebas
    
    Contohnya:

gambar rajah
biru laut
air hujan
jalan raya
nasi minyak
terima kasih
luar biasa
merah muda
alat tulis
bandar raya
tengah hari
jam tangan
meja tulis
bom tangan
kapal terbang
kuning langsat



Dalam kategori ini juga termasuk bentuk kata yang digunakan sebagai gelaran,

Contohnya:
 
Perdana Menteri
Duta Besar
Raja Muda
Setiausaha Politik
Penolong Pendaftar
Ketua Menteri
Naib Censelor
Profesor Madya
Timbalan Ketua Pustakawan
Ketua Setiausaha Negara

b) kata majmuk yang berbentuk  istilah khusus dalam bidang ilmiah

    Contohnya:

model linera
garis pusat
lelefon dail terus
lesung sendi
kanta tangan
mata pelajaran
pita suara
darah panas
kertas kerja
batu kapur

c) kata majmuk yang mendokong maksud kiasan, iaitu simpulan bahasa
   
   Contohnya:

kaki ayam
buah hati
duit kopi
makan angin
pilih kasih
anak emas
bulan madu
manis mulut
tumbuk rusuk
berat tangan

1 comment: