Sunday 25 November 2012

KAJIAN TINDAKAN



             Kajian tindakan telah dimulakan oleh Kurt Lewin pada tahun 1946. Pada peringkat awalnya , kajian tindakan menitik beratkan perubahan-perubahan terhadap sikap dan perlakuan manusia dalam beberapa bidang sosial  seperti perkara-perkara yang berhubung dengan kebiasaan pemakanan dan hasil pengeluaran kilang.Sebaik sahaja selepas perang dunia kedua, kajian tindakan telah dilakukan untuk menyelidik tentang prasangka dan perhubungan antara kumpulan sosial.



            Idea ini telah digunakan oleh rakan-rakan sekerja dan pelajar-pelajarnya dalam membuat kajian dan penyelidikan tentang penggubalan kurikulum dan peningkatan profesionalisme keguruan . Teachers College, University of Columbia telah menjadi pusat kajian dan penyelidikan tindakan dalam bidang pendidikan. Stephen Corey , Dekan Teachers College University , pernah menjadi penganjur  kajian tindakan yang berpengaruh. Selain beliau , Kenneth Benne, Hilda Taba , dan Abraham Shumsky juga memperjuangkan bidang ini.



            Kajian tindakan telah mengalami zaman kegemilangan hinggalah pada tahun 50-an dan selepas itu ia kurang diberi perhatian disebabkan oleh perkembangan kajian dan penyelidikan yang memisahkan antara teori dan amalan .Perkara ini berlanjutan sehingga awal tahun 1976.



            Minat terhadap penyelidikan dan kajian tindakan telah mendapat perhatian semula dengan wujudnya Ford Teaching Project di United Kingdom di bawah penyeliaan John Elliot dan Glem Adelman.Projek ini  diasaskan di Center for Applied Research in Education, University of East Anglia dan telah melibatkan uasahasama dan koloborasi antara guru-guru untuk membuat kajian tindakan dalam bidang mereka terutama dalam pendekatan pengajaran inkuiri penemuan . Berasaskan  kepada pandangan Lawrence Stenshouse , kajian ini adalah berdasarkan kepada konsep penglibatan seorang guru dalam proses merenung dan mengesan prestasi sendiri  memandangkan guru merupakan penyelidik dan juga pakar dalam profesionnya.



            Sejak penglibatannya dalam Ford teaching Project, Elliot telah meneruskan perkembangan teori dan amalan penyelidikan , iaitu Classroom Action research Network di Cambridge Institute of Education.



            Minat terhadap Kajian Tindakan ini mula  berkembang pula di Australia dan benua Eropah . Di Amerika Syarikat , minat ini muncul kerana  telah timbulnya kesedaran untuk mempertingkatkan taraf pendidikan dan profesionalisme keguruan. Kritikan masyarakat terhadap taraf pendidikan dan profesionalisme perguruan dalam tahun – tahun 70-an dan    80-an telah menjadikan guru-guru lebih peka terhadap profesionalisme perguruan mereka. Dengan demikian , maka tercetus semula kesedaran bahawa penyelidikan dan Kajian Tindakan merupakan salah satu cara yang dapat membantu mereka memperbaiki amalan pengajaran mereka . Ini dilakukan melalui renungan kendiri yang kritis.



            Di Malaysia , konsep penyelidikan dan Kajian Tindakan telah mula meresap dalam sistem pendidikan . Perubahan – perubahan dalam sistem pendidikan telah menimbulkan kesedaran untuk meningkatkan profesionalisme keguruan.



            Kajian tindakan merupakan metodologi yang fleksibel dan boleh disesuaikan mengikut keperluan semasa kajian dijalankan kerana kajian tindakan adalah satu bidang penyelidikan berbentuk renungan kendiri, yang dilakukan oleh individu mahupun sekumpulan penyelidik dalam sesuatu situasi yang boleh terdiri daripada pengetua, para pendidik, guru, pelajar , ibubapa dan ahli-ahli masyarakat.



            Masyarakat yang sentiasa berada dalam proses perubahan mengharapkan para pendidik supaya dapat menyesuaikan peranan mereka dengan arus perubahan.Pendidik bukan sahaja perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan tetapi perlu juga menyesuaikan diri dengan budaya dan keadaan sekolah. Oleh yang demikian penyelidikan dan kajian tindakan adalah perlu kepada seorang guru terutama untuk  memastikan guru mampu memainkan peranan yang lebih dinamik dan  mempunyai kesedaran diri serta sedia meneliti semula kandungan  kurikulum dalam pendidikan .



            Pada masa ini terdapat satu arah aliran yang mendesak pendidik dan guru supaya mengurangkan pengajaran secara berkuliah tetapi lebih menumpukan perhatian kepada pengajaran yang berasaskan aktiviti dan pembelajaran melalui pengalaman. Dengan adanya penyelidikan dan  Kajian Tindakan seorang pendidik secara langsung akan sentiasa merenung , menyoal dan menyelidik peranan dan tugasnya terutama untuk menghasilkan golongan guru yang sedia membuat kritikan kendiri, menyelidik akibat-akibat aktiviti pengajaran dan pembelajaran serta mengubahsuai perlakuan amalan pengajaran guru agar lebih kritis dan kreatif.Ini akan mengukuhkan lagi perkembangan profesionalisme kita sebagai seorang pendidik dan seterusnya akan meningkatkan mutu dan kualiti pendidikan.



            Perkembangan profesionalisme guru perlu dihubung kait dengan peningkatan dalam pendidikan yang bermutu untuk disampaikan kepada murid dan pelajar. Ini sebenarnya memerlukan penekanan kepada pelbagai perkhidmatan sokongan yang perlu dilakukan oleh guru. Dengan menjalankan penyelidikan dan Kajian Tindakan , konsep guru sebagai penyelidik dapat mengukuhan kemahiran guru dalam membuat penentuan dan seterusnya kepada perkembangan perlakuan berasaskan arahan kendiri. Guru sebagai penyelidik dan pengkaji  juga boleh menguji implikasi teori pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah seterusnya menghasilkan teori daripada amalan kita, terutama dalam memastikan tanggungjawab kita sebagai perancang ke atas proses pendidikan di dalam bilik darjah.



            Kajian Tindakan  bertujuan untuk memperbaiki dan mempertingkat amalan menerusi perkembangan peribadi dan profesionalisme seseorang guru.Dengan menjalankan kajian tindakan ini , kita dapat memainkan peranan utama dalam arena  penyelidikan kerana kajian tindakan ini bertempat dalam persekitaran pengajaran .Ia juga dapat dijalankan oleh kita sebagai guru yang mengamalkan dan  akan menggunakan dapatan ini secara serta merta dalam amalan harian kita. Kajian tindakan ini juga dapat membantu kita sebagai guru dan pendidik untuk mengubah amalan dalam bilik darjah dan dengan itu juga kita boleh terus memahami  dan mengongsi pengalaman baru dengan murid dan guru-guru lain.



           Guru perlu berusaha untuk memahami tujuan dan hasratnya sendiri tentang pengajaran dan pembelajaran supaya boleh bergerak ke arah pencapaian realiti tentang apa yang berlaku dalam bilik darjah. Kajian tindakan memberi peluang kepada kita sebagai pendidik untuk mengubah suai amalan pendidikan dalam satu situasi yang sebenar supaya boleh memanfaatkan semua pihak. Kajian tindakan juga boleh menghasilkan usahasama di kalangan guru dan membolehkan kita sebagai pendidik bekerja dengan guru lain untuk faedah bersama demi meningkatkan mutu pendidikan .



            Selain itu juga, Kajian Tindakan membolehkan guru-guru bertanggungjawab atas tindakan mereka dan mewujudkan satu suasana pengajaran dan pembelajaran yang bersemangat dan dinamis seterusnya dapat membantu dalam perkembangan kurikulum yang berasaskan sekolah , perkembangan profesionalisme , program kemajuan sekolah dan perkembangan perancangan sistem dan dasar pendidikan Negara.



            Pendidikan dan amalan guru harus dapat mengenal pasti masalah guru dan merenung kembali amalan dan ideologi dari perspektif yang lebih luas.Selain itu juga guru harus dapat menggunakan pelbagai teknik pemerhatian dan penyelidikan supaya boleh mengesan dan merenung kembali aktiviti-aktiviti diri sendiri dan diri orang lain.Oleh yang demikian penyelidikan dan kajian tindakan dapat memainkan peranan yang  berkesan dalam memastikan kemahiran –kemahiran yang berkaitan dengan kebolehan untuk bekerja sebagai ahli kumpulan, berhubung dan bertukar idea-idea, memerhati dari pelbagai aspek dan cara, membuat analisis dan menilai data yang telah dikumpulkan , menilai diri sendiri dan mengkritik hal semasa dari aspek moral dan sosial dapat dikembangkan.



            Di samping itu ,melalui penyelidikan dan kajian tindakan juga amalan nilai-nilai murni seperti berfikiran terbuka,bertanggungjawab dan berdedikasi dapat dipertingkatkan.Selain itu juga inkuiri yang kritis dapat dijalankan serta dilaksanakan dengan baik terutama melalui kerja kumpulan , pendedahan kepada konteks sosial yang lebih luas , penialaian kendiri, penilaian rakan sejawat dan pembelajaran melalui pengalaman sendiri. Penyelidikan dan Kajian tindakan ini juga adalah satu cara untuk menambahkan pengalaman mengajar guru-guru serta memberi peluang kepada kita sebagai pendidik untuk memperkukuhkan perkembangan profesionalisme guru seterusnya berupaya untuk sentiasa menilai diri sendiri dalam memastikan mutu pendidikan di Malaysia dapat mencapai kehendak dan aspirasi Falsafah Pendidikan Negara.   



            Melalui penyelidikan dan Kajian Tindakan , pentadbir sekolah dapat mempertingkatkan amalan pentadbiran dan guru pula dapat mempertingkatkan amalan pengajarannya , Pendek kata , pentadbir sekolah dan guru dapat memajukan bidang profesion pendidikan di sekolah. Usaha menjalankan kajian tindakan adalah hasil daripada kesedaran untuk meningkatkan diri sendiri sebagai seorang pendidik  yang profesional.            Kaedah ini juga tidak memerlukan arahan daripada pihak atasan kerana sebagai ahli profesional, pentadbir atau guru yang berpengalaman seharusnya menunjukkan keupayaan bergerak atas inisiatif sendiri, Penyelesaian masalah melalui kajian tindakan harus dilihat sebagai satu cabaran dan komitmen terhadap profesion keguruan seterusnya menjadi satu kaedah yang berkesan dan harus dipraktikkan oleh semua pendidik di sekolah dalam usaha untuk meningkatkan profesionalisme mereka dan mutu pendidikan yang disampaikan kepada pelajar di dalam bilik darjah di seluruh Negara.



                Secara keseluruhannya dapatlah disimpulkan bahawa Kajian Tindakan adalah sejenis penyelidikan yang dilakukan oleh penyelidik sendiri untuk menyelesaikan masalah yang dihadapinya. Kajian dan penyelidikan ini tidak memerlukan kepakaran yang khusus, perbelanjaan yang tinggi atau tempoh masa yang panjang . Kaedah ini boleh dilakukan oleh semua pendidik di sekolah yang telah mempunyai pengalaman dalam bidang masing – masing. Hanya orentasi dan latihan yang minimum tentang kaedah ini yang diperlukan . Tujuan utama bagi seorang pendidik menjalankan Kajian Tindakan adalah untuk membaiki amalannya sebagai seorang pendidik yang profesional dan berkualiti dan bukannya untuk menyumbang kepada teori pendidikan atau ilmu pengetahuan.




No comments:

Post a Comment